PENDAHULUAN
Kekecohan isu masalah gejala sosial di kalangan muda mudi di Malaysia
terbabit dengan maksiat semakin hebat diperkatakan. Isu pembuangan bayi,
pergaulan bebas dan seks rambang perlu dijadikan iktibar dan pengajaran agar
umat Islam tidak terjebak ke kancah seks secara haram dan terbabas daripada
Syariat yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.
Di antara punca utama seseorang terlibat dalam perzinaan adalah disebabkan
kegagalan dirinya untuk mengawal nafsu seks yang memuncak. Dalam masa
yang sama faktor persekitaran turut menyumbang kepada kegiatan maksiat.
Pengaruh rakan sebaya, penggunaan alat telekomunikasi tanpa batas serta
kesibukan ibu bapa yang berkerjaya menjadikan anak-anak hidup tanpa
bimbingan dan tunjuk ajar.
Bagi menangani gejala maksiat ini, Islam menganjurkan umatnya supaya
menahan diri dengan berpuasa. Sabda Rasulullah S.A.W.
"Wahai golongan pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah maka
hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih
menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak
mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya
(daripada syahwat)."
(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Daud, Ibn Majah).
PERKAHWINAN DALAM ISLAM
Islam mengharamkan zina dan menggalakkan umatnya berkahwin. Di antara
hikmah perkahwinan ialah sebagai cara yang halal untuk menyalurkan keinginan
nafsu seks dan mengelakkan daripada melakukan zina, seks sesama jenis,
terlibat dengan pelacuran, seks rambang dan pergaulan bebas di antara lelaki
dan perempuan. Firman Allah S.W.T :
Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu
adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa
kerosakan.
Surah al-Isra’ : 32
Melalui perkahwinan keturunan dan kesucian diri manusia akan terpelihara dan
terjaga. Dengan berkahwin manusia akan memperoleh ketenangan, berkasih
sayang dan hidup dengan tenteram. Firman Allah S.W.T :
Maksudnya : Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan
rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri
dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra
dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih
sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang
berfikir.
Surah ar-Rum : 21
BATAS PERGAULAN DALAM ISLAM
Islam amat melarang pergaulan bebas tanpa batas di antara lelaki dan
perempuan. Larangan ini dinyatakan oleh Allah S.W.T sebagaimana firman-Nya.
Maksudnya : Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman
supaya menyekat pendangan mereka (daripada memandang yang haram), dan
memelihara kehormatan mereka...
Surah an-Nur : 31
Firman-Nya lagi
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang
beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang
yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci
bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang
apa yang mereka kerjakan.
Surah an-Nur : 30
Islam mengharuskan pertemuan di antara lelaki dan perempuan jika ia menjurus
kepada matlamat yang mulia seperti mencari ilmu yang bermanfaat, amal ibadat,
perkara kebajikan, jihad dan perkara-perkara lain yang memerlukan
pengembelingan tenaga antara kedua-duanya.
Etika dan batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan menurut Islam ialah :
i. Munundukkan pandangan. Firman Allah S.W.T :
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang
beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang
yang haram), dan memelihara kehormatan mereka
Surah an-Nur : 30
Firman-Nya lagi :
Maksudnya : Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman
supaya menyekat pendangan mereka (daripada memandang yang haram), dan
memelihara kehormatan mereka...
Surah an-Nur : 31
ii. Menutup aurat sebagaimana firman Allah S.W.T :
Maksudnya : ... dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka
kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher
bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan
perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka,
atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka,
atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang
perempuan, atau perempuan-permpuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau
orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada
perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat
perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang
akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu
sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Surah an-Nur : 31
iii. Wujud batas/had pergaulan antara lelaki dengan perempuan. Firman
Allah S.W.T :
Maksudnya : ... dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari
isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang
demikian lebih sici bagi hati kamu dan hati mereka...
Surah al-Ahzaab : 53
iv. Tidak berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan. Sabda Rasulullah
S.A.W yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.A :
Maksudnya : Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita
kecuali bersama mahramnya.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Sabda Rasulullah S.A.W lagi :
Maksudnya : Janganlah salah seorang dari kalian berduaan-duaan dengan
seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya.
(Riwayat Ahmad & Termizi dengan sanad yang sahih)
v. Tidak melunakkan ucapan (percakapan). Seorang wanita dilarang
melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman Allah
S.W.T :
Maksudnya : Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana
perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu
berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing)
kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit
dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah
dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
Surah al-Ahzaab : 32
vi. Tidak bersentuhan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram
sepertimana yang diriwayatkan daripada Aisyah R.A :
Maksudnya : Demi Allah, tangan Rasulullah S.A.W tidak pernah menyentuh
tangan wanita meskipun ketika membaiat.
(Riwayat al-Bukhari)
IMPLIKASI ZINA TERHADAP PERKAHWINAN
Islam menyifatkan perbuatan zina sebagai penggugat kehidupan masyarakat
dan kesejahteraan ummah. Zina adalah musuh ketat kepada institusi keluarga
yang mana keluarga adalah punca dan asas kepada jatuh dan bangun
sesebuah negara.
Membenarkan perbuatan zina atau membiarkan masyarakat terus melakukan
perbuatan dan perkara yang membawa kepada zina boleh menyebarluaskan
kejahatan dan keburukan di kalangan masyarakat. Ia akan menghancurkan
institusi kekeluargaan dan akhir sekali menghancurkan ummah.
Masyarakat Eropah dan masyarakat Barat pada umumnya rosak disebabkan
zina. Akhlak yang mulia hancur disebabkan pergaulan yang tidak mengenal
batasan. Anak-anak gadis di bawah umur lagi sudah sedia mengenali budaya
buruk ini. Dengan kata lain, anak-anak gadis pada umur 15 tahun lagi ataupun
yang lebih awal dari itu sudah hilang dara. Tegasnya, bersekedudukan sebelum
kahwin adalah perkara biasa bagi masyarakat barat. Oleh itu, hari ini arus
pemikiran Barat tersebar luas di kalangan masyarakat dunia. Seruan kebebasan
wanita dilaungkan dan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan tanpa
batasan dianggap sebagai perlakuan biasa dalam masyarakat. Al-Qardhawi
menegaskan bahawa di antara implikasi-implikasi berlakunya pergaulan bebas
ialah :
· Keruntuhan akhlak
· Wujudnya anak-anak yang tidak sah taraf (anak luar nikah)
· Merebaknya pelbagai penyakit merbahaya seperti HIV/AIDS
· Sebahagian besar perempuan dan lelaki akan terus membujang
· Berlakunya keruntuhan rumahtangga kerana perkara-perkara yang remeh
Tidak syak lagi, apabila zina telah berleluasa, maka kebajikan akan turut hancur .
Oleh itu azab siksa Allah S.W.T akan mendekati manusia sebagaimana Sabda
Rasulullah S.A.W daripada Maimunah R.A :
Maksudnya : “Umatku (ini) akan terus berada dalam kebaikan selama tidak
tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di
kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah ‘Azza wajalla akan menurunkan
azab siksa kepada mereka seluruhnya.”
(Riwayat Ahmad, baik sanadnya)
Azab Allah S.W.T kepada pelaku zina bukan hanya dirasai di dunia sahaja malah
mereka turut menerima azab seksa di akhirat kelak . Sabda Rasulullah S.A.W :
Maksudnya : “Tiga golongan pada hari kiamat yang Allah tidak akan berkata-kata
kepada mereka, dan tidak membersihkan mereka dan tidak akan melihat mereka,
dan bahkan bagi mereka azab yang amat pedih, (golongan itu ) ialah (lelaki
dewasa) yang berzina, raja yang pembohong dan peminta-peminta yang
sombong.”
Riwayat Muslim
Firman Allah S.W.T :
Maksudnya : “Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain
bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah
membunuhnya, kecuali dengan jalan hak (yang dibenarkan oleh syara’), dan
tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian akan mendapat
balasan dosanya.”
Surah al-Furqan : 68
KESIMPULAN
Dalam keluarga Islam, hubungan yang dihalalkan melalui pernikahan itu bukan
sekadar memenuhi hawa nafsu semata-mata tetapi ia satu ibadah yang
bertujuan melahirkan generasi atau zuriat yang soleh.
Keluarga yang soleh ini akan melahirkan masyarakat yang soleh dan akan
menjadi asas bagi negara yang soleh, bertamaddun dan berwawasan. Konsep
pernikahan seperti inilah yang membezakan manusia dengan haiwan.
Salah satu cara terbaik ialah dengan menanamkan kesedaran kepada
masyarakat mengenai hakikat atau falsafah pernikahan dalam Islam sebagai alat
mencipta keluarga sakinah, bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat
semata-mata.
Pengisian nilai-nilai agama sangat diperlukan dalam sebuah keluarga agar
memiliki matlamat yang jelas dalam mengisi sebuah perkahwinan. Firman Allah
S.W.T :
Maksudnya : “Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada
isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela.
Kemudian, sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, maka
merekalah orang-orang yang melampaui batas.”
Surah al-Mu’minun : 5-
Ulasan
Catat Ulasan
This Post Mybe Have Same Copy From OtherSite.
Other Link or Backlink we removed by Robotsystem